Dikuasakan oleh Blogger.

Mendeka



Sepersalinan songkok, kemeja warna langsat, seluar telah aku letakkan di gerobok, para paling atas sekali. Putera bongsuku sedari awal lagi sudah tidur. Lena memeluk kasut getah yang kubeli istimewa buat meraikan peristiwa ini. Tadi petang, basikal tua kubasuh, kugilap. Pastinya kayuhan gagah disuntik semangat kebebasan menjadi sarapan kerohanian pagi esok. Ya, tanah tumpah darahku sudah merdeka.

Malam nanti ada pertunjukan bunga apikah?
< >

Artifak


*Gambar ditemui bersama dua peti jongkong emas, tiga pucuk batu bersurat, sebilah keris panjang berwarna perak, kain kuning, rempah-ratus serta tembikar pada era perdagangan Melayu Melaka.
< >

Berjihad

Sebelum aku meneruskan niat aku, esok aku kena survey dulu harga dua benda di bawah yang mana mestilah sesuai dengan bajet aku sendiri.


1. Basikal. Monoshock.
2. Senjata api. Semi auto.

Tak tahan juga aku bila orang kerap pos fasal hal Mesir ni dalam wassap aku.










< >

Siri Perang Kasut




::[♠]:: [ Perang Kasut I ] ::[♠]::

Seperti kata Osman Berani,

"Saya gembira tatkala melihat kasut sekolah saya kembali putih! Yeah!!!"


------------------------------------------------------------


::[♠]:: [ Perang Kasut II ] ::[♠]::

"Ada berbagai pilihan sebenarnya. Sama ada satu, kau nila. Dua, kau kapur bagi putih atau ketiga, kau biarkan sahaja kasut sekolah kau apabila lepas di basuh. Itupun bergantung pada niat kau juga. Apa tujuan kau ke sekolah? Kau mahu kelihatan bersih, kemas? Mahu menurut peraturan beruniform dan tenang dalam menimba ilmu. Atau kau rasa tidak 'cool' di hadapan rakan sebaya. Penampilan skima? Mahu kelihatan 'rugged', rok? Jadi kau fikirkanlah cakap aku ini."

Usai berceloteh, Tobek diam. Ojan merenung jauh ke kolam sains. Rekaan kolam yang tak seberapa malah banyak mendapat kritikan daripada pelajar.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut III ] ::[♠]::

Kolam sains itu kini sepi. Tiada lagi ikan yang menghuni. Sangkar arnab yang terletak bersebelahan juga sepi. Projek sains oleh Persatuan Sains sekolah itu ibarat projek yang dilaksanakan secara tidak saintifik. Ojan pandang Tobek. Tobek buat muka sepi. Macam projek sains sekolah. Sekejap macam rupa kolam sains. Sekejap macam rupa sangkar arnab. Ojan merengus guna bahasa sastera.

"Huh! Kalau dah capal tu capallah juga Tobek. Mana mungkin dipakai kepala. Kalau dah sial tu sial jugalah. Mana mungkin dipandang mulia!"

Tobek tergamam dengan geniusnya pantun spontan Ojan. Otak Ojan ternyata memang berhubung kesan pengambilan susu yang konsisten semenjak awal kelahirannya.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut IV ] ::[♠]::

"Hah! Hari ini kau jangan lupa pulak. Kau ajaklah kawan-kawan kau kat sekolah tu main pijak pijak kasut lagi." Masih terngiang-ngiang sindiran ayahnya di telinga Ojan.

Ojan tunduk. Matanya mula berkaca. Bergenang. Emosinya terjerut ketat dek kawat kenangan yang tajam mencucuk.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut V ] ::[♠]::

‎"Dalam kategori rakyat aku ni mungkin kastanya di bawah sekali. Aku hanya seorang sivilian," Berahim memulakan topik. Bibir mulutnya mencebik. Teh yang baru sampai di meja dikacau perlahan-lahan. Hati-hati. Agar tak luak semua satu sentimeter susu di lantai cawan. Gelagatnya diperhatikan oleh Busu dan Wahab yang duduk semeja. Cikgu Senin hanya memasang telinga.

"Tapi..." Berahim menyambung.

"Kalau semata-mata nak mengangkat darjat aku dengan bekerja dengan gomen, aku tak akan buat. Selagi dalam diri aku tak ada prinsip pemudahcara kerajaan bukan penyusahcara rakyat. Benda senang macam hal kasut budak-budak pun tak boleh nak handle. Menyusahkan betul..."

Selang satu meja, telinga Cikgu Senin bertukar kemerah-merahan pedih terkena gas sindiran Berahim.

------------------------------------------------------------ 

::[♠]:: [ Perang Kasut VI ] ::[♠]::

‎"Cikgu cepat cikgu! Ojan bertumbuk dengan budak tingkatan empat di kantin!" Cemas juga muka Aris membuat pengaduan kepada Cikgu Nordin. Aris bukan pengawas. Pengawas pun tidak bersikap 'kaki report' sepertinya.

"Ojan? Siapa Ojan tu?" Cikgu Nordin memaculkan soalan terpinga-pinga.

"Alahhh! Budak kelas 3 Semangat. Takkan cikgu tak kenal. Fauzan. Budak yang saya cakap datang lambat semalam..."

Bersemangat sungguh Aris membuat laporan secara terperinci bagai manusia gila pangkat.

------------------------------------------------------------   

::[♠]:: [ Perang Kasut VII ] ::[♠]::

Muka Ojan sudah biru lebam. Keluar dari bilik guru disiplin tidak mengubah langsung apa jua keadaan. Seperti biasa, Tobeklah sahabat setia yang sentiasa di sisi. Mendengar luahan hatinya.

Di bangku itu Ojan termenung. Matanya terpaku namun mulut tetap bersuara

"Kadang-kadang Tobek...kita kena biarkan bahtera hidup ini. Berkayuh siang tanpa mata angin. Biar hilang kutubnya. Belayar malam tanpa bintang. Biar hilang burujnya. Ke manapun nak pergi, biarkan sahaja. Lambat laun pasti tiba ke destinasi."

Tobek mengunyah kata-kata Ojan satu persatu.

Bila tercerna dan tersedar sesuatu barulah Tobek bersuara. "Errr...eskius me. Kalau kita biar, bukan HANYUT ke namanya?"

Degup jantung Ojan kencang. Denyut lebam Ojan bukan kepalang. Dia menyiapkan bucu lututnya untuk dipersembahkan kepada Tobek.





*bersambung... 
< >

Ambil Keputusan








Gua ada beberapa projek khas dalam tangan gua yang belum lagi gua kerjakan. Dek sebabkan kesuntukan masa mungkin atau kerja-kerja hakiki lain yang banyak mengisi slot hingga gua hampir terlepas pandang kepada kerja-kerja untuk folio gua. Di samping desakan hidup yang agak meruncing juga menyebabkan gua sapu habis apa sahaja kerja yang masuk.


Tapi, benarlah kata orang lama. Membuat sesuatu yang kita suka tidak akan sama luhurnya dengan melakukan sesuatu yang kerana terpaksa.

Kepuasan? Survival? Kedua-duanya gua harus ambil. Bukan lagi hidup dalam kepeningan untuk memilih yang mana satu.

Lu pernah tak pada suatu tengahari yang nyaman di dalam bulan puasa, lu didatangi Jep Sepah dalam mimpi lu? Gua pernah. Semalam. Sebelum ni gua mana pernah lagi mimpi fasal selebriti kecuali Maria Arshad. Itu kes lain. Ini membuatkan apa yang Jep pesan dalam mimpi tu 'make sense' juga lah pada gua.
< >

Kastem


















"Apabila kita tidak melakukan ertinya kita telah mensia-siakan bakat kurniaan Tuhan."
- Osman Berani




< >

Kembali

Hidup ini bagi aku adalah untuk mencapai sesuatu. Pernah beberapa kali aku cuba dan mencuba sehinggakan pencapaian aku itu rasa seperti di luar kemahuan aku sendiri. Dalam erti kata lain, setiap apa yang aku buat mula nampak mengarut.

Jadi, untuk itu aku harus kembali. Kembali kepada siapa diri aku yang sebenarnya. Supaya mengarut tidak akan bertambah melarat. Kemudian aku mengarat sedikit demi sedikit seterusnya aku mengalami proses pereputan.

Kembalinya aku ialah pada esok hari. Aku akan kembali bermain warna dan berus. Seakan sudah lama juga aku tidak melukis gambar pemandangan di tepi laut. Matahari nampak separuh. Pokok kelapa. Juga burung camar berbentuk huruf M.




< >