Dikuasakan oleh Blogger.

Siri Perang Kasut




::[♠]:: [ Perang Kasut I ] ::[♠]::

Seperti kata Osman Berani,

"Saya gembira tatkala melihat kasut sekolah saya kembali putih! Yeah!!!"


------------------------------------------------------------


::[♠]:: [ Perang Kasut II ] ::[♠]::

"Ada berbagai pilihan sebenarnya. Sama ada satu, kau nila. Dua, kau kapur bagi putih atau ketiga, kau biarkan sahaja kasut sekolah kau apabila lepas di basuh. Itupun bergantung pada niat kau juga. Apa tujuan kau ke sekolah? Kau mahu kelihatan bersih, kemas? Mahu menurut peraturan beruniform dan tenang dalam menimba ilmu. Atau kau rasa tidak 'cool' di hadapan rakan sebaya. Penampilan skima? Mahu kelihatan 'rugged', rok? Jadi kau fikirkanlah cakap aku ini."

Usai berceloteh, Tobek diam. Ojan merenung jauh ke kolam sains. Rekaan kolam yang tak seberapa malah banyak mendapat kritikan daripada pelajar.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut III ] ::[♠]::

Kolam sains itu kini sepi. Tiada lagi ikan yang menghuni. Sangkar arnab yang terletak bersebelahan juga sepi. Projek sains oleh Persatuan Sains sekolah itu ibarat projek yang dilaksanakan secara tidak saintifik. Ojan pandang Tobek. Tobek buat muka sepi. Macam projek sains sekolah. Sekejap macam rupa kolam sains. Sekejap macam rupa sangkar arnab. Ojan merengus guna bahasa sastera.

"Huh! Kalau dah capal tu capallah juga Tobek. Mana mungkin dipakai kepala. Kalau dah sial tu sial jugalah. Mana mungkin dipandang mulia!"

Tobek tergamam dengan geniusnya pantun spontan Ojan. Otak Ojan ternyata memang berhubung kesan pengambilan susu yang konsisten semenjak awal kelahirannya.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut IV ] ::[♠]::

"Hah! Hari ini kau jangan lupa pulak. Kau ajaklah kawan-kawan kau kat sekolah tu main pijak pijak kasut lagi." Masih terngiang-ngiang sindiran ayahnya di telinga Ojan.

Ojan tunduk. Matanya mula berkaca. Bergenang. Emosinya terjerut ketat dek kawat kenangan yang tajam mencucuk.

------------------------------------------------------------

::[♠]:: [ Perang Kasut V ] ::[♠]::

‎"Dalam kategori rakyat aku ni mungkin kastanya di bawah sekali. Aku hanya seorang sivilian," Berahim memulakan topik. Bibir mulutnya mencebik. Teh yang baru sampai di meja dikacau perlahan-lahan. Hati-hati. Agar tak luak semua satu sentimeter susu di lantai cawan. Gelagatnya diperhatikan oleh Busu dan Wahab yang duduk semeja. Cikgu Senin hanya memasang telinga.

"Tapi..." Berahim menyambung.

"Kalau semata-mata nak mengangkat darjat aku dengan bekerja dengan gomen, aku tak akan buat. Selagi dalam diri aku tak ada prinsip pemudahcara kerajaan bukan penyusahcara rakyat. Benda senang macam hal kasut budak-budak pun tak boleh nak handle. Menyusahkan betul..."

Selang satu meja, telinga Cikgu Senin bertukar kemerah-merahan pedih terkena gas sindiran Berahim.

------------------------------------------------------------ 

::[♠]:: [ Perang Kasut VI ] ::[♠]::

‎"Cikgu cepat cikgu! Ojan bertumbuk dengan budak tingkatan empat di kantin!" Cemas juga muka Aris membuat pengaduan kepada Cikgu Nordin. Aris bukan pengawas. Pengawas pun tidak bersikap 'kaki report' sepertinya.

"Ojan? Siapa Ojan tu?" Cikgu Nordin memaculkan soalan terpinga-pinga.

"Alahhh! Budak kelas 3 Semangat. Takkan cikgu tak kenal. Fauzan. Budak yang saya cakap datang lambat semalam..."

Bersemangat sungguh Aris membuat laporan secara terperinci bagai manusia gila pangkat.

------------------------------------------------------------   

::[♠]:: [ Perang Kasut VII ] ::[♠]::

Muka Ojan sudah biru lebam. Keluar dari bilik guru disiplin tidak mengubah langsung apa jua keadaan. Seperti biasa, Tobeklah sahabat setia yang sentiasa di sisi. Mendengar luahan hatinya.

Di bangku itu Ojan termenung. Matanya terpaku namun mulut tetap bersuara

"Kadang-kadang Tobek...kita kena biarkan bahtera hidup ini. Berkayuh siang tanpa mata angin. Biar hilang kutubnya. Belayar malam tanpa bintang. Biar hilang burujnya. Ke manapun nak pergi, biarkan sahaja. Lambat laun pasti tiba ke destinasi."

Tobek mengunyah kata-kata Ojan satu persatu.

Bila tercerna dan tersedar sesuatu barulah Tobek bersuara. "Errr...eskius me. Kalau kita biar, bukan HANYUT ke namanya?"

Degup jantung Ojan kencang. Denyut lebam Ojan bukan kepalang. Dia menyiapkan bucu lututnya untuk dipersembahkan kepada Tobek.





*bersambung... 
< >

Tiada ulasan: